Dera amah sampai mati: Suami isteri direman seminggu lagi

ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata pasangan itu disambung bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes berkenaan. ― Foto oleh KE OoiACP Mior Faridalathrash Wahid berkata pasangan itu disambung bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes berkenaan. ― Foto oleh KE OoiGEORGE TOWN, 6 Mac — Pasangan suami isteri yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian pembantu rumah Indonesia mereka di Jelutong, disambung reman selama enam hari lagi sehingga Sabtu ini.

Ketua polis daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata tempoh tahanan reman pasangan berusia 42 dan 48 tahun itu disambung bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Pasangan yang ditahan sejak Ahad lepas tamat reman hari ini dan polis telah mendapatkan perintah menyambung reman mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Katanya polis percaya dapat melengkapkan siasatan kes berkenaan dalam masa terdekat sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata seorang lagi pembantu rumah rakyat Kemboja berusia 22 tahun yang turut bekerja di rumah sama dan ditahan pada Rabu lepas masih direman kerana ditahan selama 14 hari.

Mior Faridalathrash berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sabtu lepas, pembantu rumah rakyat Indonesia berusia 38 tahun itu dilaporkan tergelincir dan rebah di tangga rumah teres dua tingkat milik majikannya pada kira-kira 12.45 tengah malam dan meningal dunia pukul 11.50 pagi hari yang sama.

Susulan itu, polis menahan pasangan suami isteri yang merupakan majikanwanita berkenaan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye dilaporkan berkata berdasarkan siasatan polis, pembantu rumah rakyat Indonesia itu mati akibat didera. — Bernama

Lagi Video di MMOTV