Cipta sejarah, Felda Lurah Bilut bakal nikmati internet laju

Lembah Digital di Felda Lurah Bilut mampu menarik minat generasi kedua peneroka kembali menduduki Felda. — Foto ReutersLembah Digital di Felda Lurah Bilut mampu menarik minat generasi kedua peneroka kembali menduduki Felda. — Foto ReutersKUANTAN, 4 Feb — Pelancaran Lembah Digital di Felda Lurah Bilut di Bentong oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat mampu menarik minat generasi kedua Felda berkenaan kembali menduduki tanah rancangan pertama negara itu.

Ketua Peneroka Felda Bilut Md Zulkifli Md Yunus, 59, berkata projek itu membolehkan mereka menikmati capaian internet berkelajuan tinggi sehingga 100Mbps menggunakan jalur lebar gentian optik.

Katanya, ia membolehkan generasi kedua khususnya mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan melakukan transaksi secara dalam talian dari rumah keluarga masing-masing.

“Ramai generasi muda Felda Bilut melibatkan diri dalam perniagaan seperti Lemang Tok Ki yang terkenal di Bentong. Bagaimanapun, disebabkan kemudahan seperti ini tiada dahulu, mereka keluar dari Felda untuk mencari peluang lebih baik.

“Saya harap bila sudah ada kemudahan internet berkelajuan tinggi, mereka akan kembali ke sini dan bersama-sama meneruskan pembangunan Felda Bilut supaya terus menjadi contoh kepada Felda lain,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi, semalam.

Beliau berkata usaha berterusan Felda bagi menaik taraf aspek ekonomi, alam sekitar, pendidikan, teknologi dan kesihatan di setiap tanah rancangannya di seluruh negara dengan melancarkan Felda 2.0 esok, juga menaikkan semangat anak muda untuk memajukan Felda Bilut.

“Mereka tampil berjumpa dengan Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk mengemukakan pandangan untuk imej Felda Lurah Bilut selaku Felda pertama di negara ini,” katanya.

Md Zulkifli berkata Felda Bilut juga mempunyai ramai pengusaha produk tempatan yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana menjadikan mereka memperoleh manfaat untuk memajukan perniagaan ke peringkat lebih tinggi dengan program itu.

“Pelaksanaannya menjadikan Felda kami seiring dengan perkembangan teknologi. Felda Bilut sudah ada generasi keempat dan kelima yang masih bersekolah dan selepas ini lebih mudah untuk mereka membuat rujukan di internet,” katanya.

​​​​​​​Sementara itu seorang lagi generasi kedua Felda Lurah Bilut, Seng Lam, 45, turut berasa bangga dengan perubahan demi perubahan yang berlaku di tanah rancangan yang menghimpunkan pelbagai kaum itu.

Katanya, jika generasi pertama Felda Lurah Bilut menempa sejarah sebagai peneroka pertama tanah rancangan selepas dirasmikan pembukaannya oleh Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein pada 1958, esok satu lagi sejarah baharu akan tercipta

“Kali ini kami berpeluang menempa sejarah sebagai perintis program Felda 2.0  dan Lembah Digital pertama yang dirasmikan pula oleh anak Tun Abdul Razak (Najib). Dua sejarah besar Felda berlaku di tanah rancangan kami,” katanya.

Menurutnya ini membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan nasib peneroka serta rakyat di luar bandar sebaliknya sentiasa berusaha memastikan pembangunan di kawasan itu juga seiring yang dikecapi di bandar. — Bernama

Lagi Video di MMOTV