Bukan Kelantan, tapi Sabah dulu sudah laksanakan sebatan umum

Kelantan bukanlah negeri pertama yang melaksanakan sebat depan orang awam kerana hukuman itu terlebih dahulu dilaksanakan di Sabah. — Foto AFPKelantan bukanlah negeri pertama yang melaksanakan sebat depan orang awam kerana hukuman itu terlebih dahulu dilaksanakan di Sabah. — Foto AFPKOTA KINABALU, 14 Julai — Kelantan bukanlah negeri pertama yang melaksanakan sebat depan orang awam kerana hukuman itu terlebih dahulu sudah dilaksanakan di Sabah.

Ketua Hakim Syarie Sabah berkata kali terakhir hukuman dilakukan pada tahun lalu, apabila dua pesalah disebat di dewan mahkamah syariah Tawau, disaksikan orang ramai yang hadir di mahkamah ketika itu, lapor Berita Harian.

“Selain itu, pada tahun 2014 juga ada seorang pesalah wanita dikenakan hukuman rotan tetapi ditangguhkan selepas pesalah terbabit disahkan sedang hamil oleh pegawai perubatan,” kata Datuk Jasri Nasip Matjakir seperti dilapor portal itu.

“Wanita itu disabitkan kesalahan melakukan persetubuhan haram dan dijatuhi enam sebatan, penjara tiga tahun serta denda sebanyak RM5,000. Bagaimanapun, atas permintaannya dia hanya dihukum sebat.”

Katanya hukuman terhadap wanita itu dibuat berdasarkan cadangan daripada Jabatan Penjara sendiri.

Kelmarin Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Prosedur Jenayah Syariah 2002 yang membolehkan pesalah dihukum sebat di khalayak ramai bagi kesalahan zina, liwat dan minum arak.

Rang Undang-Undang (RUU) itu juga memperuntukkan kuasa kepada penguatkuasa agama menggunakan gari ke atas suspek dan membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah.

Lagi Video di MMOTV