Bajet 2018: Peneroka Felda terima ‘durian runtuh’

Reaksi staf Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Pulau Pinang bergembira yang mengikuti siaran langsung pembentangan Bajet 2018. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembayaran khas RM1,500 kepada penjawat awam. ― Foto BernamaReaksi staf Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Pulau Pinang bergembira yang mengikuti siaran langsung pembentangan Bajet 2018. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembayaran khas RM1,500 kepada penjawat awam. ― Foto BernamaKUALA LUMPUR, 27 Okt ― Lebih 112,000 peneroka Felda menerima “durian runtuh” melalui enam inisiatif utama yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semasa pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata, insentif tersebut termasuk bayaran insentif khas peneroka bernilai RM5,000 yang diumumkan pada 23 Julai lepas dan pengembalian wang SES oleh peneroka getah yang membuat tanaman semula kelapa sawit dari tahun 2010 hingga 2016.

Katanya, insentif tersebut akan diperoleh 8,925 peneroka Felda dengan peruntukan RM43 juta.

“Bukan itu sahaja, RM60 juta juga disediakan untuk program tanaman semula sawit,” katanya.

Kumpulan Wang Perusahaan Getah (Penanaman Semula) atau biasanya disebut tabung wang SES telah ditubuhkan di bawah peruntukan seksyen 3, Ordinan Kumpulan Wang Perusahaan Getah (Penanaman Semula) 1952.

Kutipan SES pada kadar 9.92 sen sekilogram getah yang dieksport dimasukkan ke dalam tabung wang SES dan digunakan bagi membiayai program tanam semula bagi sektor pekebun kecil, pemulangan wang SES kepada sektor estet dan kegunaan lain yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Sementara itu, Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM164 juta bagi membina 5,000 unit Rumah Generasi Kedua Felda, dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Sebagai tambahan, katanya, hampir RM200 juta turut diperuntukkan kepad Felda bagi sistem bekalan air dan menaik taraf jalan serta lampu jalan di tanah rancangan tersebut. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV