Azwan mahu jaja kisah keluarga, label Azmin ‘munafik’

Azwan Ali (kanan), adik menteri besar Selangor, bersama Datuk Seri Jamal Md Yunos di Perhimpunan Agung Umno, Kuala Lumpur, 6 Disember 2017. — Foto ihsan Facebook/Jamal Md YunosAzwan Ali (kanan), adik menteri besar Selangor, bersama Datuk Seri Jamal Md Yunos di Perhimpunan Agung Umno, Kuala Lumpur, 6 Disember 2017. — Foto ihsan Facebook/Jamal Md YunosKUALA LUMPUR, 10 Dis — Selebriti terkenal Azwan Ali mahu menjaja kisah keluarganya sebagai bahan kempen PRU14 bagi menjatuhkan abangnya.

Pengacara itu menyifatkan rakyat tertipu dengan sikap “pura-pura” Azmin Ali dan beliau mahu “membuka mata” rakyat khususnya orang Melayu di Selangor, lapor Sinar Harian.

“Saya bukan nak jual cerita keluarga, tapi dah sampai masanya rakyat boleh nilaikan sendiri,” katanya, turut anggap kenyataan Azmin masih sayangkannya sebagai adik, sebagai  “munafik”.

“Saya ikutkan, bagi saya, oklah… buang yang keruh ambil yang jernih. Lagipun itu kehendak arwah ibu, tapi ada satu perkara yang buatkan betul-betul hati saya terluka. Beliau hipokrit,” katanya.

Menafikan dengki, beliau yang mengaku membantu kempen politik Azmin selama lima tahun, hilang sabar dan menganggap abangnya pentingkan diri sendiri.

“Saya buat semuanya. Saya gadaikan maruah, bergambar dengan orang PKR, Pas… berkempen, akhirnya hidup saya? Macam saya katakan sebelum ini, saya tak dapat kerja hanya kerana dia… orang tak mahu panggil saya kerana saya bersama pembangkang.” katanya

Azwan juga tidak peduli kecaman netizen yang mengecamnya kerana beliau “berpegang kepada kebenaran” malah beliau menggelarkan mereka, “nerakazen”.

Pada 6 Disember lalu, beliau membuat kejutan apabila muncul di Perhimpunan Agung Umno 2017 di PWTC bersama ketua Umno Sabak Bernam Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Lagi Video di MMOTV