Annuar ulas TMJ: Sedap tuduh saya seleweng beli Porsche

Tan Sri Annuar Musa menafikan dakwaan beliau menyeleweng duit kerajaan untuk membeli kereta Porsche Panamera.—Foto oleh Yusof Mat IsaTan Sri Annuar Musa menafikan dakwaan beliau menyeleweng duit kerajaan untuk membeli kereta Porsche Panamera.—Foto oleh Yusof Mat IsaPETALING JAYA, 15 Jan — Kereta mewah Porsche Panamera milik Tan Sri Annuar Musa berada di pasaran hanya selepas 10 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan perdana menteri.

Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu menafikan dakwaan beliau melarikan wang yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan rakyat Kelantan semasa pemerintahan Mahathir.

“Ada orang tuduh saya Tun M bagi duit, saya beli kereta Porsche Panamera, sedap sahaja buat tuduhan, tapi waktu itu Porsche Panamera tidak keluar pun lagi,” katanya seperti dilapor portal mStar Online.

“Porsche Panamera selepas 10 tahun Mahathir berhenti jadi perdana menteri, barulah keluar model itu. Macam mana ambil duit Mahathir beli Porsche Panamera.”

Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini mengkritik individu bergelar Tan Sri yang didakwa gagal menguruskan Kafa tetapi “berhasrat mahu menerajui bola sepak negara”.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kenyataan di Facebook mendakwa Annuar menyalahgunakan duit yang sepatutnya untuk  merampas Kelantan daripada PAS semasa zaman Mahathir.

Menganggap dakwaan itu sebagai fitnah, ahli parlimen Ketereh bagaimanapun enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap anak raja tersebut.

“Kalau ikut dah banyak orang dah saya boleh dakwa buat fitnah. Jika anda tuduh saya ambil wang rakyat dan guna untuk perkara peribadi ia adalah fitnah.

“Lebih-lebih lagi orang macam saya wakil rakyat, ahli parlimen, macam mana saya boleh pergi curi wang, macam mana saya nak salah gunakan dana. 

“Saya tak layak pakai gelaran berhormat, tak layak pakai gelaran wakil rakyat, tak layak pakai gelaran parti,” katanya seperti dilapor portal itu lagi.

Annuar, pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), sebelumnya mengkritik persatuan dan kelab bola sepak yang membeli pemain dengan jumlah gaji yang terlalu mahal.

Lagi Video di MMOTV