opinion : Bartholomew Chan

Tambah baik dasar pendidikan negara sedia ada

Bartholomew Chan

27 NOVEMBER — Kira-kira 20 tahun yang lalu, ketika berada di bangku sekolah, penulis pernah berhadapan dengan pelbagai jenis ujian penilaian. Menariknya mengenai ujian-ujian tersebut, ia merupakan ujian yang diadakan berdasarkan kepada format dan pendekatan baharu.

Pendekatan baharu yang digunakan itu meliputi pelbagai mata pelajaran seperti Matematik, Bahasa Melayu dan Inggeris bagi menilai tahap pemahaman para pelajar terhadap sesuatu subjek yang diambilnya.

Seperti kelazimannya, para pelajar sekolah seperti penulis sendiri menjadi kumpulan pertama ketika itu yang didedahkan dengan perubahan yang dimaksudkan. Penulis merupakan kalangan kumpulan pelajar paling awal yang menduduki kertas peperiksaan Malaysian English University Test atau MUET.

Selain itu, penulis juga menjadi kumpulan paling awal yang didedahkan dengan format baharu kertas peperiksaan Matematik tingkatan tiga yang turut memasukkan soalan-soalan subjektif berbanding dengan soalan objektif sebelum ini.

Tidak dinafikan, perubahan yang dilaksanakan itu adalah keputusan pihak berkuasa namun perubahan secara mendadak dan terlalu kerap bukan sahaja memberi impak kepada keyakinan para pelajar bahkan juga guru-guru sekolah yang telah terbeban dengan kerja-kerja tambahan.

Justeru, saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar para pelajar tidak dijadikan sebagai bahan uji kaji amat kena pada masanya. Saranan itu harus juga membuka mata pihak berkuasa di negara ini untuk memikirkan formula terbaik agar dasar-dasar pendidikan yang sedia ada dapat ditambah baik dari semasa ke semasa, bukannya diubah secara sewenang-wenangnya.

Apa tidaknya, selama ini, setiap kali berubahnya Menteri Pendidikan atau Pelajaran, dasar-dasar pendidikan juga turut berubah. Lantaran itu, perubahan yang tidak berkesudahan itu mewujudkan suatu ekosistem tidak sihat sekaligus mencetuskan ketidaktentuan yang boleh menjejaskan tumpuan para pelajar di bilik darjah.

Persoalannya, apa rasional untuk merobah dasar-dasar pendidikan setiap kali berlakunya perubahan kepimpinan? Adalah tidak adil untuk membiarkan para pelajar sekolah bermain “catch up” dengan dasar-dasar pendidikan yang berubah-ubah. Dalam isu ini, pihak berkuasa haruslah berfikiran jauh ketika merangka dasar-dasar pendidikan.

Ini bermakna, dasar-dasar yang dirangka itu haruslah relevan, seiring dengan peredaran semasa, bersifat jangka panjang dan akhirnya berupaya memenuhi tuntutan agenda pendidikan nasional. Jangan sesekali membiarkan para pelajar dan guru-guru sekolah tersepit di tengah-tengah di sebalik ketidaktentuan itu.

Bagi para pelajar, mereka berhak mendapat kualiti pendidikan yang berkualiti, kondusif dan stabil yang mana mereka boleh belajar dalam suasana dan keadaan yang terjamin. Dengan adanya dasar pendidikan yang tetap dan tidak berubah-ubah, ia akan memberi kestabilan kepada usaha melahirkan lebih ramai pelajar yang berjaya dalam semua aspek sekaligus membantu kerajaan merealisasikan agenda TN50.

*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

MORE ON MMOTV