opinion : Bartholomew Chan

Tahniah SJAA atas penganjuran Johannian BBQ Homecoming Party yang baik!

Bartholomew Chan

12 FEBRUARI ― Perkara pertama yang sering kali terlintas dalam fikiran penulis setiap kali menjejakkan kaki ke sekolah, St John’s Institution, adalah bangunan merah putih yang tersergam indah itu.

Reka bentuknya yang dipengaruhi oleh seni bina Greece-Sepanyol menjadikan bangunan berkenaan cukup unik berbanding dengan bangunan-bangunan sekolah di ibu negara.

Selain keunikan reka bentuk bangunannya, semangat kekitaan, perpaduan malahan ukhuwah dalam kalangan pelajar mahupun bekas pelajar menjadikan kunjungan ke sekolah cukup nostalgik dan membawa seribu satu kenangan manis.

Kenangan manis tersebut timbul kembali pada pagi Sabtu lalu apabila penulis berkesempatan menghadiri Johannian BBQ Homecoming Party anjuran St John’s Alumni Association (SJAA).

Acara BBQ Homecoming Party yang memasuki tahun ke-4 penganjuran kali ini, nyata berbeza berbanding dengan edisi-edisi sebelumnya. Bukan sahaja acara berkenaan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pelancaran buku sempena dengan ulang tahun penubuhan SJI Cadet Corps yang ke-100, penyampaian sijil penghargaan kepada beberapa ahli alumni atas operasi menyelamat seorang Johannian di Gunung Nuang dan majlis penyerahan jersi-jersi kepada beberapa persatuan sukan sekolah bahkan jumlah kehadiran bekas pelajar ke acara ini di luar jangkaan iaitu lebih 400 orang.

Perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa semangat Johannian dan semangat cintakan kepada sekolah tersohor ini masih berkobar-kobar dalam diri setiap bekas pelajar yang hadir. Apa tidaknya, bekas-bekas pelajar dari tahun 1962 sehingga 2017 tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk turut serta. Lebih mengharukan, personaliti sukan ternama tanah air, Tuan Khairuddin Zainal yakni penjaga gol skuad hoki kebangsaan negara pada era 70-an serta Datuk N. Mohandas, rakyat Malaysia pertama yang berjaya menakluki Gunung Everest, kembali untuk melawat sekolah mereka. Teriakan

Semangat Johannian yang berkobar-kobar dalam kalangan bekas-bekas pelajar ini turut mencetuskan pelbagai persoalan menarik. Antaranya, jika mereka yang telah meninggalkan sekolah sejak sekian lama masih berupaya mengekalkan semangat tersebut, bagaimana pula dengan generasi Johannian masa kini? Selain itu. apakah mereka masih mempunyai semangat itu ataupun sekadar menganggap SJI hanyalah sebagai batu loncatan kepada masa depan mereka? Semuanya ini banyak bergantung kepada iltizam dan kesungguhan semua pihak baik di pihak guru, pelajar mahupun ibu bapa itu sendiri.

Sekadar melaung atau menjerit Onward to Victory, St John’s tidak membawa sebarang makna jika ia tidak disusuli dengan niat dan tindakan yang konkrit. Itu sebabnya obor perjuangan untuk mempertahankan semangat Johannians tidak berakhir dengan penganjuran acara Johannian BBQ Homecoming Party. Sebaliknya, ia hanyalah satu permulaan ke satu fasa yang lebih penting dan kritikal.

Dan untuk meneruskan misi untuk fasa berikutnya, penyertaan dan komitmen generasi Johannian masa kini amatlah penting. Merekalah penyambung obor perjuangan dan adalah mustahak untuk mereka menghayati etos dan semangat Johannian dengan sebetul-betulnya.

Ratusan bekas pelajar St John's Institution dari tahun 1960-an hingga 2017 bergambar beramai-ramai sebagai tanda kenangan selepas berakhirnya acara Johannian BBQ Homecoming Party di sekolah berkenaan, kelmarin. ― Foto insan Facebook/Philip NgRatusan bekas pelajar St John's Institution dari tahun 1960-an hingga 2017 bergambar beramai-ramai sebagai tanda kenangan selepas berakhirnya acara Johannian BBQ Homecoming Party di sekolah berkenaan, kelmarin. ― Foto insan Facebook/Philip NgWalaupun kita tidak mungkin dapat mengembalikan kegemilangan kepada keadaan asal sebelumnya, akan tetapi usaha untuk mencapai ke arah itu merupakan percubaan yang baik. Tidak dinafikan proses ini akan memakan masa, tetapi berkat kesabaran dan kecekalan, usaha murni itu bakal beroleh kejayaan kelak. Ibarat lirik lagu sekolah SJI yang berbunyi: “What though the odds be great or small, Dear old St. John’s will win over all, While her loyal sons are marching Onward to victory!”

Kepada SJAA, syabas dan tahniah diucapkan atas kualiti penganjuran yang baik untuk acara terbabit. Sesungguhnya, tahap kerjasama yang ditunjukkan oleh jawatankuasa penganjur dalam memastikan acara ini berjalan lancar wajar dijadikan teladan oleh alumni yang lain.

Ukhuwah dan silaturahim yang utuh dalam kalangan anggota jawatankuasa turut menjadi rahsia kepada kejayaan acara yang dianjurkan. Mudah-mudahan acara sedemikian dapat dianjurkan dari semasa ke semasa dalam mengukuhkan rangkaian persahabatan antara satu sama lain. Penulis pasti itu jugalah suara hati majoriti Johannians yang hadir ke acara BBQ Homecoming semalam.

* Penulis adalah bekas pelajar St John’s Institution (SJI).

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

MORE ON MMOTV