opinion : Bartholomew Chan

Semak dahulu sebelum sebar

Bartholomew Chan

13 MAC ― Apabila berbicara mengenai isu penyebaran berita-berita palsu yang kian berleluasa mutakhir ini, salah satu daripada persoalan yang mengundang tanda-tanya awam bagaimanakah pengguna media sosial boleh begitu mudah terpedaya dengan berita-berita sedemikian lantas menyebarkannya kepada orang lain? 

Adakah intipati berita-berita disajikan begitu tulen sehingga pengguna tidak dapat mengenal pasti cacat-cela berita yang disajikan? Ataupun mereka sebenarnya tidak kisah pun untuk membaca berita-berita berkenaan dan hanya menyebarkannya kerana berasa perlu untuk berbuat demikian? Mungkinkah juga, ada dalam kalangan pengguna media sosial berkelakuan sedemikian kerana mahu mengejar populariti murahan semata-mata untuk menjajakan cerita mereka?

Kesemua sebab yang disebutkan tadi berkemungkinan ada asasnya, bergantunglah kepada siapa yang anda ajukan soalan-soalan terbabit dan bagaimanakah persepsi masyarakat terhadapnya.

Apa sekalipun, di sebalik kemungkinan yang dilontarkan, yang pasti, sebagai pengguna media sosial, mereka tidak ada alasan untuk mengatakan mereka tidak ada masa untuk meneliti artikel-artikel yang disalurkan kepadanya. Seandainya, alasan tidak ada masa dijadikan sebagai asas, maka amatlah bahaya dan dahsyat impak jika berita-berita palsu disebarkan tanpa batasan.

Bayangkan apa yang akan terjadi kepada ketenteraman negara jika berita-berita palsu lebih-lebih lagi yang melibatkan isu keselamatan disebar tanpa usul-periksa. Bukan sahaja ia akan mencetuskan situasi panik malahan juga membuka ruang kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk menangguk di air keruh sekaligus memburukkan keadaan.

Justeru, alasan tidak ada masa untuk menyemak adalah alasan yang cukup lemah kerana dalam mana-mana urusan seharian sekalipun, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah untuk menyemak terlebih dahulu sama ada urusan atau maklumat berada dalam keadaan yang baik atau sebaliknya.

Lagipun, tindakan untuk menyemak kesahihan sesuatu berita tidak akan memakan masa yang lama. Barangkali, ia mengambil masa selama beberapa minit. Apa yang perlu dilakukan ialah untuk menyemak sumber berita yang diterima, siapakah penulisnya, membuat perbandingan fakta dan dimanakah ia diterbitkan.

Itu sebabnya, apabila terdapat kes-kes yang mana segelintir pengguna media sosial tertipu dengan penyebaran berita-berita sedemikian, maka siapakah yang harus dipersalahkan? Bagi mereka yang ingin mencari jalan mudah untuk menyelesaikan masalah ini, maka jalan terbaik ialah untuk menyalahkan pihak berkuasa kerana merekalah yang mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab. 

Namun begitu, mereka mungkin terlupa bahawa penyebaran berita-berita palsu tidak mungkin berlaku tanpa penglibatan oleh pihak si penerima dan yang menyebarkan berita-berita terbabit. Ibarat pepatah: Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

Semuanya ini berkisar kepada sikap dan mentaliti pengguna itu sendiri. Jika mereka mengambil inisiatif untuk semak terlebih dahulu kesahihan berita-berita yang dibacanya, maka tidak akan timbul soal pihak-pihak tertentu tampil untuk menghantar memorandum mendesak agensi-agensi penguatkuasa untuk bertindak ataupun tindakan penguatkuasaan diambil terhadap si penyebar berita palsu itu.

Perlu diakui bahawa tugas mengubah sikap dan mentaliti pengguna adalah cukup mencabar dan menuntut iltizam berterusan semua pihak. Disebabkan pengguna sudah terlalu selesa dengan persekitaran sedia ada, maka sebarang percubaan untuk mengubahnya mungkin berhadapan dengan tentangan.

Kepada pengguna media sosial, cermin-cermin diri dahulu dan bermuhasabah diri ketika menerima berita-berita dari Internet. Jangan sesekali terlalu ghairah sehingga lupa akan perkara asas iaitu untuk menyemaknya dahulu. Hanya selepas menyemak dan memastikan berita berkenaan tidak mengandungi elemen yang boleh dipertikaikan, barulah sebarkan kepada pihak yang lain.

Pokoknya, semak dahulu sebelum sebar. Ingat sebelum kena!

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

MORE ON MMOTV