opinion : Bartholomew Chan

Sayangi dan berbaik sangka sesama umat manusia

Bartholomew Chan

4 JULAI — Lebih daripada 40 orang terbunuh dalam serangan berani mati di Lapangan Terbang Antarabangsa Attaturk, di Turki awal minggu lalu dipercayai didalangi oleh kumpulan militan Islamic State (IS).

Beberapa hari selepas itu, dunia dikejutkan pula dengan insiden tembak-menembak oleh sekumpulan individu bersenjata yang bertindak menawan puluhan tebusan kebanyakannya warga asing di sebuah restoran di Dhaka, Bangladesh. Dalam insiden berkenaan, 20 orang awam disahkan terbunuh manakala enam individu bersenjata turut terbunuh.

Beberapa bulan sebelum itu pula, di Orlando, di bumi Amerika, para penduduk setempat digemparkan dengan insiden menembak di sebuah kelab malam meragut puluhan nyawa tidak berdosa.

Insiden-insiden yang disebutkan sebentar tadi nampaknya memberi gambaran dunia kita ini diselubungi dengan kemarahan, kebencian dan kesangsian terhadap orang lain. Manusia kini semakin hilang pertimbangan dan bersedia untuk membunuh sama ada atas nama agama, politik mahupun kerana mental yang tidak waras.

Di Malaysia, sebuah bumi yang bertuah kerana tidak berhadapan dengan bencana alam seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi, kita disajikan dengan kerenah oleh kalangan pemimpin politik yang gemar menggunakan isu-isu sensitif untuk mengeruhkan keadaan. Isu-isu kecil yang pada dasarnya tidak timbul masalah, akhirnya menjadi masalah kerana ianya dicampur-adukkan dengan agama dan kaum.

Lantaran itu, pelbagai insiden yang kurang elok berlaku, sering kalinya berkisar kepada isu-isu sensitif membuatkan kalangan penduduk kurang senang dan gusar dengan keharmonian sedia ada.

Persoalannya, apakah sikap sedemikian akan memacu sesebuah negara dan masyarakat ke hadapan? Apakah perlunya untuk kita sentiasa menanamkan sikap benci, syak-wasangka dan memandang serong terhadap orang lain hanya semata-mata kerana kita dibayangi dengan kebencian yang tidak tentu pasal ini?

Kemarahan yang membara jika dibalas dengan kemarahan dan keganasan, hanya akan berakhir dengan kemusnahan yang cukup dahsyat. Kemarahan bukan sahaja akan mendorong seseorang untuk berkelakuan kurang rasional malahan boleh melakukan sesuatu di luar kawalan mereka.

Namun demikian, ianya bukan satu bentuk escapisme yang bijak.  Daripada terus melahirkan kemarahan yang keterlaluan, bukankah lebih baik jika manusia sedemikian berfikir sejenak dan memikirkan impaknya kepada kesihatan, kemudaratan kepada orang lain bahkan kepada ketenteraman negara.

Kepada individu yang cenderung menaruh kebencian dan pembohongan untuk melaga-lagakan pihak tertentu, fikirlah semasak-masaknya sebelum melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan kesejahteraan negara. Apakah hidup mereka akan menjadi lebih baik jika sentiasa dibayangi dengan kebencian dan pembohongan?  Kebencian yang melampau dan pembohongan hanya akan mengheret manusia ke kancah kemusnahan. Disebabkan pembohongan yang berterusan, manusia menjadi semakin taksub dan lupa diri.

Begitu juga dengan mereka yang menggunakan agama untuk membunuh begitu ramai orang awam tidak berdosa. Serangan berani mati yang kita lihat sejak akhir-akhir ini telah mencemar nama baik Islam itu sendiri sedangkan agama tersebut tidak pernah mengajar penganutnya untuk melakukan keganasan.

Sudah begitu banyak kemusnahan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh orang awam ketika ini gara-gara perbuatan buas oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Maka ada baiknya jika manusia kembali ke pangkal jalan dan berpegang kepada ajaran agama sebenar. Mana-mana agama di dunia sekalipun menuntut agar penganutnya untuk berbuat baik, berbaik sangka dan bantu-membantu antara satu sama lain.

Bukankah lebih baik jika kita mengamalkan sikap berbaik sangka dan menyayangi sesama umat? Dengan adanya kasih sayang dan sikap berbaik sangka terhadap orang lain, nescaya dunia ini akan menjadi lebih aman. Yang pasti, dunia tidak perlukan lagi tragedi ataupun pertumpahan darah yang tidak berkesudahan.

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.

MORE ON MMOTV