opinion : Bartholomew Chan

Penuhi kehidupan ini dengan perkara yang bermakna

Bartholomew Chan

10 JULAI — Beberapa minggu yang lalu, penulis terlibat dalam nahas jalan raya. 

Mujurlah kemalangan yang dialami itu tidak begitu serius dan hanya melibatkan kerosakan kecil pada beberapa bahagian kereta seperti absorber dan keretakan pada bahagian hadapan cermin kereta.

Bagaimanapun, insiden berkenaan sudah cukup untuk membuatkan penulis trauma seketika dan tidak dapat memberikan fokus kepada tugasan hakiki.

Ketika kejadian, terlintas dalam fikiran penulis bahawa wujud kemungkinan penulis mengalami kecederaan rentetan daripada nahas jalan raya itu. Dan insiden itu menyedarkan penulis bahawa hidup di muka bumi ini sebenarnya amat singkat.

Hidup di dunia ini hanyalah satu persinggahan sementara sebelum menuju ke alam yang lebih bahagia nanti. Namun demikian, semakin hari semakin penulis melihat bahawa sikap segelintir manusia di muka bumi menjadi teruk. 

Yang berpangkat, terus menindas manakala yang kaya-raya suka menunjuk-nunjuk. Tidak kurang juga, mereka yang berpengetahuan lokek untuk berkongsi ilmu dan kepakaran. Begitu juga dengan segelintir individu yang menggunakan teknologi terkini untuk melakukan penggodaman atau perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang negara.

Bagi pemimpin-pemimpin politik pula, mereka begitu sibuk dengan kempen politik masing-masing untuk mencari kekuasaan dan harta. Mereka yang satu ketika dahulunya dianggap sebagai musuh kini menjadi sekutu dan rakan dan begitulah sebaliknya. Sifat kepura-puraan terus menjadi ikutan dan kebenarannya ada kalanya dikesampingkan.

Terdapat juga kalangan manusia yang suka mengadu-domba, memfitnah malahan bersifat hipokrit semata-mata untuk memenuhi dan memuaskan hawa nafsu mereka. Pada mereka, matlamat menghalalkan cara mengatasi segala keutamaan yang lain.

Hakikatnya, apakah yang mereka akan peroleh jika bersikap sedemikian? Adakah mereka akan berasa senang hati jika memperoleh sesuatu yang bukan milik mereka? Di manakah kesedaran mereka walhal apa yang dibuat itu sebenarnya tidak betul?

Apapun, yakin dan percayalah bahawa apa yang kita lakukan di muka bumi ini akan dibalas pada Hari Pembalasan kelak. Yang Maha Esa sentiasa memerhatikan segala tindak-tanduk dan gerak-geri kita. Yang Maha Esa tidak akan sesekali membiarkan umatnya untuk berhadapan dengan kesukaran sekiranya mereka telah berikhtiar untuk berbuat sesuatu. Oleh yang demikian, jangan melakukan sesuatu yang boleh mengundang kemarahanNya. 

Hidup di muka bumi ini tidak semestinya indah sepanjang masa. Ada ketikanya manusia diuji dengan pelbagai rintangan dan ada kalanya juga manusia diberikan kesenangan yang berlipat ganda. Sekarang, terpulanglah kepada umat manusia bagaimana untuk mengisi kehidupan mereka dengan pelbagai perkara bagi menjadikannya lebih bermakna.

Justeru, jika anda mempunyai perasaan iri hati terhadap rakan sekerja di pejabat, inilah masanya untuk mengikis sikap yang negatif itu. Begitu juga keadaannya jika anda menaruh perasaan dendam terhadap individu lain yang telah bersangka buruk terhadap anda. Inilah peluang dan kesempatan keemasan untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

MORE ON MMOTV