opinion : Bartholomew Chan

Pangkat dan gelaran bukan segala-galanya

Bartholomew Chan

6 NOVEMBER — Pangkat dan kuasanya nampak boleh membuatkan seseorang itu bukan sahaja mudah lupa diri bahkan juga melakukan sesuatu di luar dugaan.

Pada jenis manusia sebegini, kuasa dan pangkat adalah segala-galanya. Bagi mereka, dengan adanya kuasa dan pangkat seperti gelaran Datuk Seri atau gelaran-gelaran lain, mereka beranggapan bahawa dirinya boleh melakukan apa sahaja dan kebal di sisi undang-undang.

Disebabkan gelaran yang dimiliki itu datang dengan prestijnya sekali, mereka telah terpesong daripada landasan sebenar,

Insiden seorang Datuk Seri menyerang dan mencederakan tiga orang pegawai Rela selepas beliau diminta untuk mengalihkan kenderaan Toyota Vellfire miliknya yang didapati menganggu pergerakan lalu lintas, merupakan perkembangan yang membimbangkan.

Tindakan biadap individu berkenaan secara tidak langsung menghantar satu mesej yang kurang sihat iaitu siapa yang berpangkat, dialah yang berkuasa dan boleh melakukan sembarangan sewenang-wenangnya. 

Kepada individu terbabit, ini bukan caranya untuk berkelakuan di khalayak. Hanya disebabkan individu itu bergelar Datuk Seri, maka segala kata dan arahan harus dipatuhi. 

Realitinya, mana-mana individu yang melakukan kesilapan waima individu itu adalah VIP sekalipun haruslah menerima teguran dengan hati lapang dan bersedia mengakui kesilapannya. Hanya kerana teguran itu dibuat oleh pegawai berpangkat rendah, maka pegawai-pegawai Rela itu boleh diperlekeh dan dihina sebegitu rupa.

Jika perbuatan sedemikian dibiarkan berlarutan, maka tidak mustahil suatu hari nanti, segala peraturan dan undang-undang negara tidak akan digeruni oleh rakyat. Apabila perasaan gerun itu sudah tidak wujud dalam diri individu, negara kita akan menjadi porak-peranda yang mana undang-undang rimba menjadi ikutan.

Kepada individu yang bergelar Datuk Seri itu, sedarlah bahawa perbuatan menghalang tugas anggota Rela melaksanakan tanggungjawabnya adalah satu kesalahan. Apa salah dan dosa pegawai Rela itu sehingga dia perlu dipukul hingga lebam sebelah mata? Adakah salah untuk pegawai Rela itu untuk menegur individu bergelar Datuk Seri berkenaan? Lagipun teguran yang dibuat bersifat balk dan hanya bertujuan meleraikan keadaan lalu lintas yang terhalang pada ketika itu.

Yang pasti, perbuatan biadap sebegini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Yang bersalah tetap bersalah dan harus menerima hukuman yang sewajarnya. Biarlah hukuman yang dikenakan itu menghantar satu isyarat kepada orang ramai bahawa tidak ada mana-mana pihak yang boleh memperlekehkan undang-undang negara sekalipun individu berpangkat Datuk Seri. 

Episod hitam ini juga wajar membuka mata semua pihak agar hanya mereka yang benar-benar berkelayakan dan telah memberikan sumbangan besar kepada negara sahaja, diberikan gelaran-gelaran sedemikian.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

MORE ON MMOTV