opinion : Bartholomew Chan

Juara Sukan SEA 2017: Jangan mudah berpuas hati

Bartholomew Chan

4 SEPTEMBER — Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontinjen Malaysia kerana berjaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukan SEA kali ke-29.

Pencapaian kali ini cukup membanggakan kerana bukan sahaja kontinjen negara berjaya melepasi sasaran untuk meraih 111 pingat emas bahkan juga terdapat juga beberapa acara sukan yang telah menyumbang kilauan emas biarpun tidak diberikan harapan tinggi sebelum ini.

Kejayaan meraih sejumlah 145 pingat emas adalah prestasi terbaik kontinjen negara dalam sejarah semenjak penyertaan mereka dalam Sukan SEAP pada 1959.

Begitu pun, kejayaan berkenaan tidak seharusnya melalaikan pihak penganjur dan atlet kononnya semua dalam keadaan yang baik dan tidak ada cacat-celanya.

Hakikatnya, terdapat beberapa insiden seperti kesalahan meletak bendera negara jiran dalam buku program, insiden 16 atlet negara mengalami keracunan makanan, insiden nahas jalan raya membabitkan sekumpulan pemain skuasy dari Thailand, Myanmar dan Filipina serta keputusan untuk tidak menjual tiket untuk perlawanan akhir bola sepak antara Malaysia-Thailand, sedikit sebanyak merencatkan imej negara sebagai penganjur.

Rungutan dan perasaan tidak puas hati Thailand dan Indonesia mengenai mutu pengadilan yang berat sebelah dalam sesetengah acara sukan turut mewarnai suasana edisi Sukan SEA kali ini, sekaligus menimbulkan persoalan mengenai tindakan menyenaraikan acara-acara sukan yang memberi kelebihan kepada tuan rumah wajar diteruskan atau sebaliknya.

Dalam mana-mana acara sukan sekalipun, pihak penganjur tidak dapat lari daripada menerima kritikan pihak-pihak tertentu. Ada kritikan yang membina dan tidak kurang juga, kritikan yang dilontarkan bertujuan untuk menimbulkan kemarahan pihak satu lagi.

Akan tetapi, beberapa insiden yang disebutkan tadi tidak wajar dipandang remeh apatah lagi diketepikan begitu sahaja. Kesemua kepincangan yang berlaku itu membabitkan maruah dan imej negara. Oleh sebab itu, apa yang berlaku baru-baru ini seharusnya membuka mata dan telinga penganjur untuk lebih berhati-hati dengan segala aspek persiapan waima parkara yang dilihat kecil dari kaca mata kita seperti buku program. Ketidaktelitian ini boleh memberikan tanggapan yang negatif terhadap kemampuan negara untuk menganjurkan acara-acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Sukan Asia ataupun Sukan Olimpik.

Kita berharap satu ‘post-mortem’ dapat dijalankan secepat mungkin bagi mengenal pasti punca sebenar insiden-insiden terbabit di samping mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi kelemahan dan kepincangan yang berlaku.

Sesungguhnya, kejayaan kontinjen negara dalam Sukan SEA baru-baru ini wajar diraikan oleh semua namun mereka tidak boleh mudah berpuas hati dengan pencapaian yang dicapai. Sebaliknya, persiapan untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi itu harus bermula dari sekarang. Buktikan kepada semua bahawa atlet-atlet negara mampu untuk menang di tempat lawan dan bukan hanya gah di tempat sendiri semata-mata.

AYUH, BANGKIT BERSAMA!

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

MORE ON MMOTV