opinion : Bartholomew Chan

Jangan politikkan isu banjir

Bartholomew Chan

13 NOVEMBER — Banjir besar yang melanda Pulau Pinang baru-baru ini sekali lagi memperlihatkan “the good and the bad” dalam kalangan pemimpin politik dan rakyat di negara ini.

Dari sudut yang positif, masyarakat di negara ini tanpa mengira kaum dan agama tampil membantu mangsa-mangsa banjir yang memerlukan dengan menghulurkan pelbagai bantuan baik dalam bentuk kebendaan, kewangan mahupun sokongan moral.

Misalnya, tindakan seorang bilal surau Taman Free School, Pulau Pinang membuka pintu surau kepada 70 mangsa banjir bukan Islam ekoran bah besar merupakan satu amalan terpuji. Menurut bilal surau tersebut, apa yang penting ialah keselamatan penduduk tanpa mengira perbezaan agama.

Malah tindakan bilal surau tersebut mendapat pujian daripada Perdana Menteri, kalangan tokoh akademik dan netizens yang rata-rata menyifatkan sikap bilal surau itu benar-benar melambangkan semangat 1Malaysia.

Dari sudut yang kurang baik pula, sikap menuding jari antara pemimpin politik  terus terserlah apabila pemimpin politik dari kedua-dua belah pihak masing-masing menyalahkan antara satu sama lain atas musibah yang menimpa. Tidak kurang juga, ada pemimpin yang menyifatkan musibah berkenaan sebagai satu karma kepada negeri tersebut kerana arus pembangunan yang keterlaluan di Pulau Mutiara itu. Paling menyedihkan, ada juga pihak tertentu yang mempertikaikan niat murni bilal surau tadi untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir bukan Islam.

Dalam realiti kehidupan, kita tidak mungkin dapat lari daripada menerima kritikan ataupun tohmahan daripada pihak-pihak tertentu. Malahan, kritikan atau tohmahan itu merupakan sebahagian daripada asam-garam kehidupan. Bagaimanapun, cara melemparkan kritikan haruslah berpada-pada dan kena pada tempatnya.

Dalam konteks banjir ini, mana-mana agama sekalipun menuntut penganutnya untuk sentiasa berbuat baik dan membantu mereka yang memerlukan. Justeru, adalah tidak wajar untuk pihak tertentu mempertikaikan usaha-usaha sedemikian. Bahkan, pihak yang mengkritik itu harus bertanyakan kepada diri sendiri apakah sumbangan yang telah anda lakukan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri itu? 

Dimanakah sifat perikemanusiaan dan empati sebagai seorang umat manusia? Janganlah hanya pandai mengkritik semata-mata untuk menunjukkan dirinya telah berbuat sesuatu. Buktikan dengan tindakan konkrit, bukan retorik sahaja.

Mahukah kita hanya melihat rakyat Malaysia bersatu pada waktu-waktu tertentu sahaja seperti apa yang kita lihat sekarang? Bukankah sikap bantu-membantu dan perpaduan sepatutnya diamalkan sepanjang masa? Jika inilah sentimen yang terus dipupuk, maka perpaduan yang kita lihat sekarang hanyalah bersifat pada permukaan atau “superficial” sahaja.

Pokok-pangkalnya, isu banjir tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak untuk kepentingan peribadi mereka. Isu banjir merupakan satu isu nasional dan melibatkan kepentingan jutaan rakyat di negara ini. Impak dan tempiasnya juga amat menyeluruh. 

Sebagai pemimpin yang diamanahkan oleh rakyat, mereka haruslah mengetepikan politik kepartian dan ego dalam membantu rakyat mengatasi isu banjir ini. Menyalahkan pihak satu lagi tidak akan menyelesaikan masalah yang dimaksudkan malah hanya akan merumitkan lagi keadaan. Kepada pemimpin politik yang cuba mempolitikkan isu ini, berhentilah berbuat demikian. 

Masa untuk menabur janji-janji sudah berakhir. Inilah masanya untuk bertindak. Jika tidak, masalah banjir yang menimpa di Pulau Pinang baru-baru ini akan terus berulang dan tidak akan berkesudahan. Sanggupkah dan mahukah kita melihat rakyat terus menderita akibat musibah ini yang juga berpunca daripada sifat tamak haloba manusia?

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

MORE ON MMOTV