opinion : Bartholomew Chan

Jadilah manusia yang mempunyai empati dan belas kasihan

Bartholomew Chan

2 OKTOBER — Ramai yang tidak menyedari semalam, 1 Oktober adalah Hari Warga Emas Kebangsaan. Hari tersebut berlalu tanpa banyak publisiti seolah-olah ia bukanlah suatu hari yang penting.

Maklumlah, mereka yang diraikan itu adalah warga emas dan bukannya individu-individu yang berpengaruh mahupun yang terkenal. Sumbangan dan peranan mereka kepada pembangunan negara tidaklah sebanyak mana.

Demikian persepsi yang timbul dalam kalangan kita terhadap golongan warga emas. Cuba ajukan soalan dan minta mereka nyatakan pandangan mereka terhadap warga emas.

Soalan-soalan seperti adakah anda akan menjaga kedua ibu bapa anda apabila mereka sakit?, adakah anda bersedia untuk menemani kedua ibu bapa sepenuh masa jika diperlukan dan mahukah anda tinggal bersama dengan ibu bapa anda pastinya mencetuskan pelbagai tanda-tanya dan perdebatan.

Jika maklum balas yang diberikan adalah ya, maka anda adalah seorang anak yang soleh dan penyayang yang meletakkan kepentingan keluarga mengatasi kepentingan peribadi.

Jika jawapan yang diberikan adalah negatif pula, maka anda adalah seorang anak yang derhaka kerana sanggup meletakkan kepentingan peribadi mengatasi segala-galanya. Ada ketikanya juga keputusan sukar itu terpaksa dibuat atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan.

Kita semua perlu ingat bahawa suatu hari nanti, kita juga akan merasai hari tua. Pada ketika itu nanti, kita juga akan melalui apa yang sedang dilalui oleh kedua ibu bapa kita. Justeru, jika kedua ibu bapa adakalanya lupa dengan apa yang dicakap, jangan salahkan mereka jika pertanyaan sama diulangi. Sebaliknya, hadapi situasi sedemikian dengan penuh kesabaran seperti mana mereka pernah melayan kerenah kita ketika kita masih kecil dahulu.

Amat menyedihkan jika ada antara kita yang menganggap kedua ibu bapa kita sebagai beban kepada kebahagiaan mereka sehingga sanggup menghantar mereka ke rumah orang-orang tua. Tindakan sedemikian bukan sahaja derhaka bahkan juga manifestasi kepada keruntuhan institusi kekeluargaan.

Seorang ibu atau bapa boleh menjaga 10 orang anak tetapi tidak semestinya 10 orang anak boleh menjaga ibu bapa mereka. Kepada muda-mudi yang mempunyai niat sedemikian, pesanan penulis kepada mereka ialah fikir dahulu sebelum melakukan sesuatu. Janganlah menjadi Si Tanggang, anak yang derhaka.

Jadilah manusia yang mempunyai empati, belas kasihan dan kasih sayang kepada orang lain. Oleh itu, jika terdapat permintaan oleh orang tua kita untuk berjumpa dengan kita, tunaikan permintaan tersebut. Apa salahnya meluangkan masa dengan anggota keluarga tersayang tatkala mereka memerlukan kita di sisi mereka.

Ingatlah ego dan maruah diri boleh membinasakan kita. Disebabkan mahu mempertahankan ego, kita kehilangan orang tersayang. Disebabkan ego juga, kebahagiaan sesebuah keluarga hancur berderai begitu sahaja.

Mahukah dan sanggupkah kita membiarkan kedua ibu bapa tersayang menghabiskan sisa-sisa hidup mereka dalam keadaan melarat? Tepuk dada, tanyalah selera!

*Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

MORE ON MMOTV