opinion : Bartholomew Chan

Hadapi masalah dengan tenang dan jangan nafi

Bartholomew Chan

9 OKTOBER — Apabila ditimpa sesuatu masalah atau malapetaka, kelazimannya kita berada dukacita dan ingin melupakan detik-detik hitam itu.

Ada pula yang suka merungut dan berkata, masalah tersebut tidak patut berlaku pada dirinya. Tidak kurang juga yang menyalahkan takdir di sebalik masalah yang berlaku itu.

Dalam kita berhadapan dengan sesuatu masalah sama ada di rumah, di tempat kerja atau hubungan dengan isteri tersayang, perkara pertama yang sering dilakukan ialah berada dalam sindrom penafian.

Trend sedemikian amat ketara dalam kalangan diri mereka yang menghadapi masalah kesihatan. Acapkali setelah mengetahui keputusan ujian kesihatan yang dikatakan kurang baik, mereka lebih gemar untuk mengelak atau terus terjebak ke kancah kemurungan, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Bagi mereka yang terperangkap dalam sindrom penafian, ia ibarat satu escapisme yang dilihat mampu ‘menyelamatkan’ mereka daripada memikirkan masalah tersebut.

Bagaimanapun, pemikiran sebegini bukan sahaja tidak betul bahkan juga mengheret seseorang itu lebih jauh ke dalam sesuatu masalah yang dihadapi. 

Di tempat kerja hatta dengan rakan sepejabat sekalipun, jika timbul pelbagai masalah yang merunsingkan pemikiran, jangan mengelak. Sebaliknya, gunakan kesempatan yang ada untuk menganalisis masalah yang berlaku dan cari jalan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Beranikan diri untuk menangani isu yang berbangkit secara tuntas sekaligus menutup segala lompong dan kelemahan yang mungkin timbul. Dalam konteks ini, jangan mudah berputus asa dan tidak yakin akan kemampuan dirt untuk menyelesaikan sesuatu isu.

Jika ada masalah, hadapinya dengan tenang. Jika ada pihak yang memfitnah, doakan agar orang yang memfitnah kembali ke pangkal jalan dan jika ada orang yang tidak yakin dan tidak percaya dengan diri kita, buktikan kepada mereka dengan mutu kerja kita.

Hidup ini penuh dengan pancaroba dan segala kemungkinan. Orang yang kita anggap selama ini sebagai sahabat baik berkemungkinan mereka yang akan berubah wajah dan mengkhianati kita, manakala mereka yang selama ini lantang bercakap adalah mereka yang sebenarnya membantu kita satu hari nanti.

Ada sesuatu yang kita tidak dapat kawal dalam kehidupan kita. Apa yang boleh kita buat hanyalah berdoa kepada Tuhan agar segala urusan dipermudahkan olehNya. Manusia boleh merancang tetapi Tuhan yang akan menentukan segala-galanya.

Benar kata pepatah tersebut dan oleh yang demikian, sentiasa yakin dan percaya akan kebesaranNya. Sesungguhnya, keyakinan inilah yang akan menyinari dan membimbing umat manusia ke arah ketaqwaan dan kebenaran.

*Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

MORE ON MMOTV