opinion : Bartholomew Chan

Gunakan medan politik untuk memakmurkan rakyat

Bartholomew Chan

OGOS 7 ― Penulis amat tertarik dengan teguran yang diberikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia baru-baru ini yang menggesa ahli-ahli politik di negara ini untuk berpolitik secara beradab dan tidak bermusuhan walaupun berbeza pendapat mahupun ideologi politik.

Menurutnya, apa yang diperlukan oleh negara kita ialah amalan berpolitik yang berlandaskan kepada fakta dan data, bukannya memaki-hamun dan fitnah.

Beliau turut mengakui itulah kekurangan yang dilihat ketika ini hingga mengakibatkan adab berpolitik negara sudah mati.

Apa yang diperkatakan oleh Menteri Komunikasi itu nampaknya ada asas dan tepat pada masanya. Hakikat yang kita dapat lihat sekarang ialah kebanyakan pemimpin politik lebih cenderung mengadu-domba dan caci-mencaci.

Jika tidak percaya, cuba selak kebanyakan akhbar yang dijual di pasaran. Apa yang anda lihat? Ada yang suka mengeluarkan kata-kata kesat, ada juga yang memperlekehkan status kaum wanita, dan ada juga yang menanamkan kebencian antara satu sama lain. Lebih mengecewakan juga, terdapat kalangan pemimpin politik yang suka mengamalkan politik cabar-mencabar seolah-olah mereka itu lebih baik daripada pemimpin lain.

Era yang mana wujudnya “gentleman politics” sudah tidak kelihatan lagi. Sebaliknya, apa yang dapat kita saksikan mutakhir ini adalah budaya politik tit for tat  yakni yang mengutamakan kepentingan peribadi masing-masing. Garis pemisah antara yang boleh diperkatakan dan apa yang tidak boleh diperkatakan sudah tidak dihiraukan lagi.

Situasi inilah yang akan memberikan isyarat bercampur-campur mengenai niat sebenar pemimpin-pemimpin politik sebegini. Adakah mereka berpolitik kerana ingin membela nasib dan memperjuangkan hak rakyat ataupun sebaliknya? Mampukah dan wajarkah mereka ini diberikan peluang untuk mewakili kita?

Sebagai figura awam, para pemimpin politik tidak sepatutnya bercakap tak serupa bikin dan hanya memberikan janji-janji manis apabila dekat dengan musim pilihan raya. Mereka sepatutnya ikhlas, jujur dan melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab.

Tidak berapa lama dahulu, pernah dibangkitkan isu standard wakil-wakil rakyat kita. Jikalau ini sikap dan gelagat pemimpin-pemimpin politik kita, usahlah berfikir panjang dan mengharapkan mereka akan berubah. Usah juga bercakap mengenai hasrat untuk melahirkan wakil-wakil rakyat yang bertaraf dunia jika gelagat masih di takuk lama.

Oleh itu, rakyat sebagai pengundi yang harus memainkan peranan untuk mengubah pemimpin-pemimpin ini. Jika mereka masih berdegil, rakyat boleh meluahkan protes mereka di peti undi. Pemimpin-pemimpin politik ini barangkali lupa yang meletakkan mereka di persada kekuasaan adalah kerana undi rakyat. Disebabkan undi rakyat juga, mereka kini dapat menikmati segala macam manfaat sebagai seorang wakil rakyat.

Rakyat “mengangkat” wakil rakyat mereka kerana mereka mahukan wakil rakyat yang dipilih itu untuk membela nasib dan menjadi suara dalém menidakkan segala ketidakadilan yang berbangkit. Jika tidak wakil rakyat, kepada siapa lagi rakyat boleh bergantung harap?

Kepada pemimpin-pemimpin politik negara kita, tunjukkanlah teladan yang balk kepada semua. Janganlah sesekali menggunakan kesempatan yang ada untuk melakukan sesuatu yang tidak bermanfaat kepada rakyat dan negara.

Jika minda anda dibelenggu dengan kebencian melampau terhadap seteru politik, kenapa tidak memaafkan mereka dan bergerak ke hadapan? Jika hati pula sentiasa tidak senang dengan orang lain, mengapa tidak berlapang dada dan berbaik sangka? Nescaya anda akan dapat merasakan perubahan yang positif pada diri.

Gunakanlah medan politik untuk memakmurkan rakyat.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

MORE ON MMOTV