opinion : Bartholomew Chan

Fikir dahulu sebelum buat

Bartholomew Chan

17 APRIL — Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Demikianlah pepatah yang sering kali mengingatkan kita mengenai peri-pentingnya untuk menjaga tutur kata dan perlakuan walau di mana sahaja kita berada.

Hakikatnya, kita hidup dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya, masing-masing dengan sensitiviti serta kepercayaan yang berbeza. Disebabkan itu jugalah, masyarakat perlu lebih peka dan prihatin dengan sensitiviti di sekelilingnya.

Jangan sesekali beranggapan bahawa apa yang kita cakap, luahkan dan perkatakan tidak akan memberi kesan kepada orang lain lebih-lebih lagi dengan pengaruh media sosial yang semakin signifikan ketika ini.

Tindakan sebuah akhbar berbahasa Cina yang menyiarkan karikatur yang disifatkan menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat dan seorang pemimpin politik amatlah dikesali.

Tidak dapat dipastikan apakah sebenarnya sebab karikatur itu dikeluarkan oleh akhbar yang dimaksudkan itu tetapi kesan dan impaknya kepada keharmonian antara agama adalah cukup serius. Apakah perasaan mereka jika keadaan yang sama berlaku kepada mereka? Pastinya, mereka akan berasa marah dan mahu melakukan sesuatu.

Justeru, gesaan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa pihak akhbar berkenaan tidak boleh mengambil sikap cakap dahulu perkara-perkara yang boleh mengancam keharmonian negara dan lepas itu baru minta maaf, adalah sesuatu yang wajar diberikan perhatian secara serius.

Peringatan ini juga terpakai kepada semua pihak tidak kira pemimpin politik, orang-perseorangan mahupun parti-parti politik agar tidak akan berulangnya situasi sedemikian.

Kecenderungan dalam kalangan pemimpin politik mahupun segelintir penerbitan yang cuba bertindak sedemikian lewat kebelakangan ini sehingga boleh mencetuskan kemarahan orang lain, adalah sesuatu yang perlu dihentikan.

Kebebasan untuk bersuara tidaklah bermakna kebebasan berkenaan boleh disalahgunakan dengan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu harus digunakan dengan sebaik mungkin dan ia menuntut kebertanggungjawaban si pelaku itu sendiri.

Apa yang berlaku sudah pun berlaku. Pendek kata, nasi sudah menjadi bubur. Namun begitu, episod ini memberikan satu pengajaran yang cukup penting kepada kita semua bahawa isu-isu sensitif seperti agama tidak wajar diungkitkan.

Jikalau terdapat ketidakpuasan hati mengenai sesuatu isu, gunakanlah saluran yang betul bagi meluahkan pandangan berkenaan. Jangan terkejut jikalau saluran sedemikian sebenarnya yang akan memberikan kesudahan yang positif kelak.

*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

MORE ON MMOTV