opinion : Bartholomew Chan

Bunuh diri tidak selesaikan masalah

Bartholomew Chan

15 MEI — Beberapa minggu yang lalu, berita mengenai seorang pelajar yang menuntut di sebuah universiti tempatan di Pulau Pinang membunuh diri, menjadi tular di media sosial.

Satu mesej yang ditulis oleh pelajar berkenaan dalam laman Facebooknya sebelum membunuh diri antara lain memaklumkan kepada ahli keluarga agar membakar mayat beliau dan menaburkan abu ke dalam sungai. Tidak perlu dibina pusara mahupun dijalankan upacara pengebumian.

Pada awal 2016 pula, kita juga dikejutkan dengan tindakan seorang pelajar berusia 15 tahun membunuh diri gara-gara kerana mendapat tempat kedua dalam peperiksaan di sekolahnya.

Dalam kedua-dua insiden tersebut, faktor stres dan keghairahan untuk mengejar kecemerlangan akademik dikatakan menjadi faktor penyumbang kepada kematian dua insan muda yang sepatutnya mempunyai masa depan yang amat cerah di hadapan mereka. 

Keberanian oleh kedua-dua pelajar itu untuk melakukan sesuatu di luar dugaan sehingga sanggup mengambil nyawa mereka tanpa berfikir panjang merupakan suatu perkembangan yang menggusarkan. Situasi ini turut mencetuskan pelbagai persoalan mengenai kecenderungan pelajar-pelajar untuk mengambil jalan mudah sekiranya mereka tidak berjaya dalam peperiksaan yang dihadapinya. 

Meskipun insiden bunuh diri oleh para pelajar bukanlah perkara baharu, namun begitu situasi sedemikian seolah-olah membayangkan mereka tidak berupaya untuk menangani stres dan berhadapan dengan realiti sebenar.

Barangkali, keadaan ini ada kaitannya dengan peranan sesetengah ibu bapa yang terlalu memberikan tekanan kepada anak-anak mereka untuk berjaya dalam akademik. Bagi golongan ibu bapa sebegini, kecemerlangan akademik merupakan segala-galanya. Berjaya dalam akademik merupakan tiket automatik ke pintu kejayaan.

Tetapi, benarkah begitu?

Dalam kehidupan seharian, kecemerlangan akademik hanya merupakan sebahagian daripada elemen yang dimaksudkan tetapi ia tidak semestinya menjamin seseorang pelajar itu akan berjaya dan mendapat kerja yang bagus.

Sebaliknya, kejayaan seseorang itu juga didasari oleh sikap, disiplin dan sejauhmanakah pelajar-pelajar itu bersedia untuk berhadapan dengan kegagalan untuk bangkit semula.

Sekadar memiliki ijazah dan kelulusan tinggi tetapi jika seseorang pelajar itu tidak dibekalkan dengan sahsiah yang terpuji, disiplin yang tinggi dan “surviving skills”, apa yang dimahukan itu hanya akan tinggal mimpi semata-mata.

Justeru, adalah lebih baik jika seseorang pelajar itu mengamalkan keseimbangan dalam apa jua perkara yang dilakukan. Dalam erti kata lain, seimbang dalam pergaulan mereka, seimbang dalam kehidupan mereka dan juga seimbang dalam pelajarannya. Keseimbangan itu penting bagi menjamin kualiti kehidupan yang lebih terurus.

Mungkin ada antara anda yang berpandangan apa yang diperkatakan di sini terlalu idealistik untuk dilaksanakan, penulis amat memahami perasaan tersebut. Namun begitu, jika tidak ada percubaan untuk mengubah trend berkenaan dari sekarang, bila lagi?

Apakah kita mahu melihat lebih ramai anak-anak muda kita membunuh diri kerana gagal dalam peperiksaan? Apakah kita akan bertindak selepas lebih ramai anak-anak muda mengambil nyawa mereka?

Aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah sepatutnya satu pengalaman yang menyeronokkan. Lantaran itu, semua pihak tidak kira ibu bapa, guru, PIBG mahupun pihak berkuasa perlulah memainkan peranan yang sepatutnya.

Mudah-mudahan selepas ini, tidak akan kedengaran lagi kes-kes bunuh diri oleh pelajar sekolah. Sebaliknya, apa yang kita mahu lihat ialah berita mengenai kejayaan anak-anak muda bukan sahaja di persada tempatan malah di peringkat antarabangsa.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.

MORE ON MMOTV